Momentum pemulihan sektor hartanah masih tidak sekata

KUALA LUMPUR, 13 Dis  — Momentum pemulihan sektor hartanah kekal tidak sekata pada tahun 2021, walaupun terdapat beberapa perubahan pada suku keempat dengan sedikit pemulihan dicatatkan dari segi jualan.

Isu-isu berkaitan unit berlebihan dan tidak terjual terus membimbangkan selain peningkatan kos sara hidup yang akan menyebabkan rancangan pembelian hartanah tertangguh.

Menurut Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), sektor hartanah tidak terlepas daripada kesan pelbagai sekatan pergerakan yang dilaksanakan kerajaan untuk membendung penularan COVID-19 di negara ini.

“Ketika industri hampir mendapat semula momentum, Perintah Kawalan Pergerakan Penuh (FMCO) yang berkuat kuasa pada 1 Jun, 2021 dan berlarutan selama lebih tiga bulan memburukkan lagi keadaan.”

“Banyak operasi perniagaan termasuk aktiviti pembinaan serta galeri jualan sekali lagi terpaksa menghentikan operasi mereka, sekali gus merencatkan pertumbuhan sektor berkenaan,” katanya.

Kadar Dasar Semalaman (OPR) semasa yang rendah iaitu pada paras 1.75 peratus sejak 7 Julai, 2020 serta Kempen Pemilikan Rumah (HOC) sehingga akhir tahun telah membantu meningkatkan jualan hartanah kediaman dan ini telah mengurangkan segmen hartanah yang siap tetapi tidak terjual (overhang) pada suku ketiga.

Bagaimanapun, persatuan pemaju hartanah itu berkata walaupun perniagaan meningkat sejak FMCO berakhir pada Oktober, sentimen pasaran secara keseluruhan masih lesu manakala keyakinan kekal suram.

Unit tidak terjual 

Menurut Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), sebanyak 30,290 unit rumah siap dengan nilai RM19.75 bilion dilaporkan tidak terjual pada suku ketiga 2021 dan mengikut negeri, Johor mempunyai jumlah unit tidak terjual paling tinggi (24 peratus) di Malaysia, diikuti Kuala Lumpur (20 peratus) dan Selangor (18 peratus).

Mengikut jenis hartanah, lebih dua pertiga (73 peratus) daripada jumlah unit yang tidak terjual ialah hartanah bertingkat tinggi seperti pangsapuri, kondominium dan pangsapuri perkhidmatan (serviced apartment).

NAPIC juga berkata berdasarkan data pengumpulannya, lebih 70 peratus daripada hartanah tidak terjual di negara ini melebihi harga RM300,000 yang merupakan penanda aras biasa untuk rumah mampu milik – dan ini menjuruskan kepada isu hartanah yang siap tetapi tidak terjual (overhang).

Bank Negara Malaysia (BNM) turut memberi amaran bahawa jumlah hartanah tidak terjual di dalam negara masih di paras “amat tinggi”.

Ini terutamanya termasuk pangsapuri perkhidmatan, unit pejabat rumah kecil (SOHO) dan rumah berharga melebihi RM500,000 di lokasi yang kurang popular.

Memenuhi Keperluan Golongan yang Memerlukan 

Dalam pada itu, kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), telah mengumumkan 500,000 rumah/kediaman untuk golongan berpendapatan sederhana dan rendah akan dibina untuk menampung golongan yang memerlukan tempat tinggal.

Di bawah Bajet 2022, kerajaan turut mengumumkan akan meneruskan projek perumahan khusus untuk kumpulan berpendapatan rendah, dengan peruntukan RM1.5 bilion.

Langkah khusus yang diumumkan dalam Bajet 2022 ini secara tidak langsung akan membantu meringankan beban bakal pembeli rumah, terutama mereka yang tergolong dalam kategori pendapatan di bawah kumpulan B40.

Dalam Bajet 2022 itu juga, kerajaan memperuntukkan RM500 juta untuk membina sehingga 14,000 rumah di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) dan RM315 juta untuk membina 3,000 unit Rumah Mesra Rakyat (RMR).

Ia juga tidak akan lagi mengenakan Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT) daripada pelupusan harta tanah oleh pemastautin, pemastautin tetap (PR) dan selain syarikat bermula dari tahun keenam dan seterusnya.

Bagi membantu mereka yang tidak mempunyai bukti pendapatan tetap seperti pekerja gig, pemilik perniagaan kecil dan petani, peruntukan RM2 bilion di bawah Skim Jaminan Kredit Perumahan (HCGC) turut diumumkan dalam Bajet 2022.

Selain itu, pelbagai agensi juga sedang mengkaji untuk melaksanakan skim Sewa-untuk-Milik (RTO) sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengurangkan isu unit tidak terjual dan memberikan masa yang mencukupi kepada bakal pembeli rumah untuk mendapatkan rumah idaman mereka.

Situasi Masih Sukar 

Walaupun pekerjaan telah mula meningkat dan kenaikan gaji dijangkakan tahun depan, sebahagian besar rakyat Malaysia masih menghadapi situasi sukar mengharungi kesan selepas pandemik.

Perlu diingatkan ketika pandemik mula melanda tahun lepas, sesetengah pemilik rumah terpaksa melepaskan atau mengecilkan rumah kerana pendapatan bersih telah terjejas, yang menyaksikan permintaan bagi kedua-dua hartanah baharu dan hartanah untuk sewaan menjadi lesu tahun ini.

Memandangkan pandemik yang melanda menyebabkan penangguhan pembukaan sempadan, terutamanya dengan kemunculan varian baharu seperti Omicron, mereka yang terlibat dalam industri penerbangan dan perkhidmatan masih lagi terkesan.

Sebilangan daripada mereka yang bekerja untuk syarikat penerbangan tempatan masih lagi berdepan dengan potongan gaji 30 peratus sementara mereka yang terlibat dalam industri perhotelan masih belum dapat kembali bekerja sepenuhnya dan yang berada dalam bidang  Mesyuarat, Insentif, Konvensyen dan Pameran (MICE), masa depan mereka masih suram.

“Dengan kenaikan kos sara hidup, tiada kenaikan dan masih di bawah potongan gaji, saya telah membatalkan tempahan untuk membeli rumah sendiri buat masa ini kerana saya tidak mampu,” kata Shahril Azman Razali, 33, yang bekerja dengan syarikat penerbangan tempatan .

Harga makanan turut dilapor menyaksikan peningkatan drastik dan ia dijangka terus meningkat sehingga suku pertama 2022.

Justeru, dengan berkurangnya simpanan atau tiada simpanan yang tinggal ditambah pula jumlah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) semakin mengecil, kenaikan harga barang tidak akan membantu memudahkan urusan rakyat terutamanya golongan berpendapatan sederhana yang tinggal di bandar-bandar besar.

Keinginan untuk memiliki rumah masih belum tercapai, sekurang-kurangnya dalam masa terdekat ini

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Economy Finance

Bantuan RM1,000 untuk setiap keluarga yang terjejas bencana banjir

Kadar Bantuan Wang Ihsan (BWI) untuk mangsa banjir akibat monsun timur laut kini ditingkatkan kepada RM1,000 daripada RM500 bagi setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas akibat bencana itu, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. Menurutnya, sejajar dengan pengumuman oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, jumlah BWI tersebut diberi bukan sahaja untuk ketua isi […]

Read More
Business Economy

Halal & Haram dalam Perniagaan

Read More
Business Economy

Ekonomi digital Malaysia meningkat kepada US$190 bilion

Pertumbuhan ekonomi digital Malaysia semakin meraih momentum dengan pendapatan e-dagang meningkat kepada US$190 bilion, peningkatan 23 peratus bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lepas.  Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata pendigitalan sentiasa menjadi kepentingan strategik kepada Malaysia dalam usaha negara mencapai pertumbuhan ekonomi yang mampan dan inklusif.  Pada 2020, ekonomi […]

Read More