Indeks Harga Pengeluar melonjak 13.2 peratus

KUALA LUMPUR, 1 Dis — Indeks Harga Pengeluar (IHPR) pengeluaran tempatan terus mencatatkan peningkatan, melonjak 13.2 peratus tahun ke tahun pada Oktober 2021 untuk merekodkan paras tinggi baharu, disumbangkan oleh harga komoditi yang lebih tinggi, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

Indeks berkenaan yang mengira kos barangan pada harga di pintu kilang dalam ekonomi tempatan dan menunjukkan inflasi dari perspektif pengeluar mencatatkan penurunan 3.6 peratus tahun ke tahun pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan Datuk Sri Mohd Uzir Mahidin berkata kenaikan dalam IHPR pengeluaran tempatan pada Oktober 2021 disumbangkan terutamanya oleh indeks perlombongan yang meningkat 82.9 peratus tahun ke tahun berbanding penurunan 43.5 peratus pada Oktober 2020, didorong oleh harga komoditi petroleum dan gas asli yang lebih tinggi.

“Selain itu, peningkatan dalam IHPR pengeluaran tempatan turut disokong oleh indeks pertanian, perhutanan dan perikanan yang meningkat 24.8 peratus, diikuti oleh indeks pembuatan (7.9 peratus).

“Indeks utiliti mencatatkan peningkatan 0.7 peratus bagi indeks bekalan elektrik dan gas, manakala, indeks bekalan air mencatatkan penurunan marginal 0.7 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata melihat kepada perbandingan bulan ke bulan, IHPR pengeluaran tempatan meningkat 1.0 peratus pada Oktober 2021.

“Kenaikan ini disumbangkan oleh peningkatan 5.5 peratus dalam indeks perlombongan, yang dijangka kekal dalam aliran meningkat sehingga akhir tahun ini disebabkan oleh pemulihan ekonomi global yang positif apabila permintaan meningkat semula walaupun berlaku pengehadan bekalan terutamanya pada musim sejuk,” katanya.

Selain itu, indeks pertanian, perhutanan dan perikanan meningkat 1.2 peratus disumbangkan oleh harga yang lebih tinggi bagi komoditi buah tandan segar kelapa sawit.

“Harga bagi komoditi ini telah meningkat untuk bulan keempat berturut-turut pada Oktober 2021, sebahagian besarnya disokong oleh pengeluaran yang lemah akibat kekurangan buruh migran yang berterusan,” jelas beliau.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata indeks pembuatan mencatatkan peningkatan 0.4 peratus disokong oleh indeks bagi subsektor pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan (1.5 peratus), pembuatan produk petroleum bertapis (0.6 peratus) dan pembuatan komponen dan papan elektronik (0.1 peratus).

Selain itu, indeks bekalan elektrik dan gas serta indeks bekalan air masing-masing mencatatkan peningkatan 0.4 peratus dan 0.1 peratus.

Mohd Uzir turut menjelaskan kenaikan harga komoditi pada Oktober 2021 telah menyumbang kepada lonjakan indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya yang mencatatkan paras tertinggi baharu, dengan kenaikan tahunan 40.4 peratus pada Oktober 2021 berbanding negatif 13.2 peratus pada Oktober 2020.

Bagaimanapun, beliau menambah indeks barang siap mencatatkan penurunan 0.5 peratus disebabkan oleh penurunan dalam indeks kelengkapan modal (-2.9 peratus)

Mengulas mengenai jangkaan dalam IHPR menjelang akhir tahun ini, Ketua Perangkawan itu berkata IHPR dijangka kekal tinggi sepanjang tahun ini berikutan peningkatan berterusan bagi kos input terutamanya dalam harga minyak mentah dan gas asli. 

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Crypto Economy

Jenis-Jenis Cryptocurrency

Read More
Crypto Economy

Isu-isu Syariah Dalam Mata Wang Kripto

Read More
Crypto Economy

Cryptocurrency VS Fiat Currency

Read More